Tuesday, July 21, 2009

JPV Rangka Undang-Undang Ternak Walet


Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sedang merangka undang-undang berhubung perusahaan burung walet berikutan langkah kerajaan Terengganu untuk membantu pengusaha ternakan itu secara besar-besaran tidak lama lagi.

Pengarah JPV negeri Dr Azizol Mohd Sharum berkata draf undang-undang itu dijangka siap selewat-lewatnya Disember ini untuk diserahkan kepada kerajaan negeri.
"Kita perlu mengadakan undang-undang burung walet bagi memudahkan kerajaan mengawal selia industri ini yang sedang berkembang pesat di negeri ini," katanya di sini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Rozi Mamat berkata kerajaan Terengganu telah memberikan tanggungjawab kepada JPV untuk mengendalikan industri burung walet di negeri ini.

Mengulas lanjut, Dr Azizol berkata selain menyediakan draf undang-undang tersebut, JPV juga merancang memberikan pengetahuan kepada para petugasnya kerana industri burung walet merupakan satu perkara baru kepada agensi berkenaan.
Katanya JPV menyasarkan industri sarang burung walet di kalangan bumiputera di Terengganu akan meningkat kepada 10 peratus menjelang 2015 berbanding tiga peratus sekarang.

Beliau berkata pihaknya mengenal pasti beberapa daerah di Terengganu beropetensi untuk mengusahakan ternakan itu termasuk di Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan Kuala Terengganu.
Daripada kajian yang dijalankan, katanya kebanyakan burung walet dari Indonesia berhijrah ke Terengganu setelah berlaku kebakaran hutan di negara berkenaan.

Dr Azizol berkata nilai industri burung walet di dunia sekarang mencecah RM60 bilion dan Malaysia menduduki tempat ketiga dalam industri itu selepas Indonesia dan Thailand.



No comments:

Related Posts with Thumbnails